01 October 2010

SYUKUR

JALAN DARIPADA GUA MUSANG KE FELDA PERASU TAHUN 1980AN

ISTERI-ISTERI PENEROKA FELDA PERASU TAHUN 80AN

SAYA baru mendekati masyarakat FELDA yang selama ini saya kenali dari jauh. Pada asasnya saya yang kurang mengetahui mengenai agensi seumpama itu, FELDA adalah sama seperti RISDA, KESEDAR, FELCRA.... dan pelbagai lagi agensi lain di luar sana.
     Saya tidak faham sangat mengenai perkara yang melibatkan pendapatan, sawit, pertanian dan ladang Felda. Apa yang saya tahu apabila berkunjung ke Felda, saya dapati kehidupan terlalu unik, tersusun dan harmoni. Pihak pengurusan Felda mengatur dan menyusun program dengan baik untuk kesejahteraan masyarakat peneroka.  Satu sumbangan kerajaan yang terbaik dalam pembentukan sebuah aset negara yang terlalu berharga. 
     Pada saya, anak generasi Felda perlu sedar bahawa kehidupan di Felda yang jauh lebih baik dan perancangan terlalu terapi yang jarang dinikmati oleh orang lain di luar Felda. NIKMAT yang diperolehi oleh warga Felda jarang diperolehi oleh warga kampung tradisi. Lot tanah kebun oleh kerajaan negeri seluas 10 ekar adalah diberi secara percuma. Pihak Felda hanya mengenakan hutang pembangunan kebun, kos operasi kebun daripada kerja-kerja menebas hutang, tebang hinggalah kepada menanam apa jua tanaman komoditi utama samada sawit, getah, tebu atau koko.
     Maksudnya itulah peranan yang diberikan oleh Felda selaku agensi penting kerajaan membangunkan negara sehingga hutan belantara bertukar menjadi tanah ladang dan perkampungan yang menarik. Serampang dua mata MEMBASMI KEMISKINAN DAN MENYUSUN SEMULA MASYARAKAT yang dirancang oleh Allahyarham Tun Razak amat berjaya sekali.
     Hingga hari ini FELDA mula melihat kebajikan masyarakat peneroka dengan memberikan pelbagai kemudahan pinjaman daripada pinjaman membesarkan rumah sehingga RM 40,000, pinjaman pendidikan tinggi, Skim Tuisyen dan pelbagai latihan generasi baru. Memang bertuah menjadi warga Felda.
     Pada saya seorang yang sebelum ini tidak pernah kena mengena dengan Felda, warga Felda perlu meletakkan komitmen supaya apa yang dirancang oleh Felda disambut baik selain membantu agensi kerajaan yang kita sayang ini sentiasa unggul dan berperanan membantu masyarakat Melayu.
     Saya melihat pada hari ini, bahawa Felda ibarat pohon yang rendang, boleh dijadikan tempat berteduh, buahnya enak dimakan, batangnya teguh lantaran pelbagai hidupan lain yang hinggap malah cuba menggugat supaya pohon rendang ini musnah. Bukan sahaja pihak luar yang cuba menggugat kesetabilan Felda, malah dapat dilihat anasir dalaman juga memainkan peranan meruntuhkan Felda.
     Ada pihak yang membuat Fitnah menuduh Felda bankrupt, ada parti politik yang cuba menghasut supaya membenci Felda, menyaman Felda, ada peneroka yang menanam semula sendiri malah yang lebih teruk menjadikan Felda sebagai tempat pengedaran najis dadah. Ingatlah, runtuhnya Felda maka tiadalah benteng masyarakat Melayu di negara kita. SALAM HORMAT DARI SAYA.

No comments:

Post a Comment