01 October 2010

SYUKUR

JALAN DARIPADA GUA MUSANG KE FELDA PERASU TAHUN 1980AN

ISTERI-ISTERI PENEROKA FELDA PERASU TAHUN 80AN

SAYA baru mendekati masyarakat FELDA yang selama ini saya kenali dari jauh. Pada asasnya saya yang kurang mengetahui mengenai agensi seumpama itu, FELDA adalah sama seperti RISDA, KESEDAR, FELCRA.... dan pelbagai lagi agensi lain di luar sana.
     Saya tidak faham sangat mengenai perkara yang melibatkan pendapatan, sawit, pertanian dan ladang Felda. Apa yang saya tahu apabila berkunjung ke Felda, saya dapati kehidupan terlalu unik, tersusun dan harmoni. Pihak pengurusan Felda mengatur dan menyusun program dengan baik untuk kesejahteraan masyarakat peneroka.  Satu sumbangan kerajaan yang terbaik dalam pembentukan sebuah aset negara yang terlalu berharga. 
     Pada saya, anak generasi Felda perlu sedar bahawa kehidupan di Felda yang jauh lebih baik dan perancangan terlalu terapi yang jarang dinikmati oleh orang lain di luar Felda. NIKMAT yang diperolehi oleh warga Felda jarang diperolehi oleh warga kampung tradisi. Lot tanah kebun oleh kerajaan negeri seluas 10 ekar adalah diberi secara percuma. Pihak Felda hanya mengenakan hutang pembangunan kebun, kos operasi kebun daripada kerja-kerja menebas hutang, tebang hinggalah kepada menanam apa jua tanaman komoditi utama samada sawit, getah, tebu atau koko.
     Maksudnya itulah peranan yang diberikan oleh Felda selaku agensi penting kerajaan membangunkan negara sehingga hutan belantara bertukar menjadi tanah ladang dan perkampungan yang menarik. Serampang dua mata MEMBASMI KEMISKINAN DAN MENYUSUN SEMULA MASYARAKAT yang dirancang oleh Allahyarham Tun Razak amat berjaya sekali.
     Hingga hari ini FELDA mula melihat kebajikan masyarakat peneroka dengan memberikan pelbagai kemudahan pinjaman daripada pinjaman membesarkan rumah sehingga RM 40,000, pinjaman pendidikan tinggi, Skim Tuisyen dan pelbagai latihan generasi baru. Memang bertuah menjadi warga Felda.
     Pada saya seorang yang sebelum ini tidak pernah kena mengena dengan Felda, warga Felda perlu meletakkan komitmen supaya apa yang dirancang oleh Felda disambut baik selain membantu agensi kerajaan yang kita sayang ini sentiasa unggul dan berperanan membantu masyarakat Melayu.
     Saya melihat pada hari ini, bahawa Felda ibarat pohon yang rendang, boleh dijadikan tempat berteduh, buahnya enak dimakan, batangnya teguh lantaran pelbagai hidupan lain yang hinggap malah cuba menggugat supaya pohon rendang ini musnah. Bukan sahaja pihak luar yang cuba menggugat kesetabilan Felda, malah dapat dilihat anasir dalaman juga memainkan peranan meruntuhkan Felda.
     Ada pihak yang membuat Fitnah menuduh Felda bankrupt, ada parti politik yang cuba menghasut supaya membenci Felda, menyaman Felda, ada peneroka yang menanam semula sendiri malah yang lebih teruk menjadikan Felda sebagai tempat pengedaran najis dadah. Ingatlah, runtuhnya Felda maka tiadalah benteng masyarakat Melayu di negara kita. SALAM HORMAT DARI SAYA.

11 September 2010

SYAWAL




Kita sudahpun berjaya menjalani ibadat puasa sebulan di bulan Ramadan yang baru berlalu. Kita juga sudahpun merayakan kemenangan kita 1 Syawal pada 10.9.2010. Alhamdulillah, tahniah kepada semua umat muslimin dan muslimat kerana kejayaan ini. Berdoalah agar Ramadan dan Syawal sempat lagi kita temui pada tahun-tahun akan datang dan dapat kita jalani ibadat ini dalam keadaan yang penuh sempurna.
Cuma beberapa perkara yang mungkin kita masih boleh memperbaikinya ialah cara kita menyambut ibadat ini di tahun-tahun akan datang. Misalnya terlalu mempromosi majlis-majlis berbuka puasa sehingga menampakkan bahawa berbuka diadakan secara keterlaluan. Diutamakan berbanding dengan ibadat puasa dan sembahyang terawih. Iklan berbuka puasa di hotel-hotel mewah dengan hidangan lazat. Pasar Ramadan beroperasi seawal jam 10 pagi. Berbelanja berbuka sehingga banyak berlaku pembaziran. Hindarkanlah perkara seumpama ini.
Begitu juga dengan sambutan Raya. Ada yang berkata sambutan Raya diadakan sehingga sebulan bulan Syawal. Di sana sini diadakan majlis Raya samada di peringkat jabatan, organisasi, bisnes dan majlis-majlis sosial serta politik. Di mana-mana sahaja diadakan rumah terbuka.
Sebenarnya pada hari raya kedua kita sudahpun digalakkan berpuasa 6, iaitu puasa sunat 6 hari di bulan Syawal.
Betul lah seperti kata-kata M Nasir menerusi lagunya, "Satu Hari Di Hari Raya....". Hari Raya hanya sehari.
Oleh itu jalanilah ibadat puasa sunat di bulan Syawal.... usah membazir dengan perbelanjaan raya, kerana banyak lagi perbelanjaan lain yang perlu kita tangani seperti persekolahan anak-anak, membeli buku-buku persekolahan dan sebagainya.

Ingatlah, berjimat sebelum habis.  Dan juga harus diingatkan budaya kanak-kanak berkunjung untuk mendapatkan duit raya tidak diterapkan oleh ibu bapa masa kini.  Seharusnya "Peminta Sedekah" moden tidak perlu wujud dalam masyarakat.  Amalan pemberian duit raya hanya untuk keluarga adalah perlu untuk mengeratkan ukhwah dikalangan keluarga terdekat.

Tingkatkan produktiviti untuk bangsa dan negara tercinta.  

09 September 2010

KELEBIHAN SYAWAL







Setiap amalan ada kesan dan hasilnya. Ibadat puasa Ramadhan ini mampu menjadikan kita orang yang bertakwa. Inilah intipati dari Ramadhan. Kelazatan puasa memuncak ketika berakhirnya Ramadhan. Kita inginkan keberkahan Ramadhan ini berpanjangan hingga setahun, tapi apakan daya ia datang hanya sebulan saja.    
Sungguhpun begitu, kita masih berpeluang meneruskan puasa selepas 1 Syawal. Adalah menjadi amalan sunat mengerjakan puasa 6 hari dalam bulan Syawal. Ia boleh dilakukan mulai 2 Syawal hingga 7 Syawal secara berterusan atau mana-mana 6 hari dalam bulan tersebut.  Nabi Muhammad saw. bersabda "Barangsiapa berpuasa Ramadhan kemudian diikuti dengan puasa 6 hari dalam bulan Syawal, maka orang itu seolah-olah berpuasa setahun penuh."     
Sebagaimana yang diketahui semua amalan sunat adalah sebagai penampal mana-mana kekurangan dalam amalan fardhu. Sayugialah kita mengambil peluang ini untuk berpuasa 6 di bulan Syawal. Selain mendapat pahala puasa setahun, kita juga dapat memperbaiki kekurangan dalam ibadat puasa bulan Ramadhan.   
Bagi kaum perempuan yang tidak dapat berpuasa penuh dalam bulan Ramadhan kerana kedatangan haid, puasa Sunat 6 hari dalam Syawal ini memberi peluang terbaik untuk mengqadha' di samping mendapatkan pahala berpuasa sunat. Kebiasaan mentaakhirkan qadha sehingga hampir Ramadhan akan datang adalah satu amalan yang tidak sepatutnya dilakukan. Amalan wajib jika ditinggalkan mestilah disegerakan sebagai menunjukkan sikap pengabdian diri kita terhadap Allah. Apakah makna dan tujuan kita melambatkan qadha' puasa wajib? Tidak lain menunjukkan seolah-olah kita keberatan untuk menunaikan kewajiban yang telah kita tinggalkan. Bukankah Allah tahu apa yang tersirat di hati kita?   
Natijah dari amalan puasa ialah taqwa dan kasih akan Allah. Tanda kasih akan Allah ialah berkhidmat kepadaNya. Siapa mencintai Allah dia akan berbahagia di alam akhirat, sebaliknya siapa mencintai dunia dan isinya, ketahuilah dunia akan meninggalkan kita. Kelazatan dunia walaupun bagus tetapi ia tidak kekal. Ia berakhir sebaik saja kita menemui ajal. Sebaliknya kelazatan akhirat kekal abadi tanpa batasan waktu.   
Di antara tanda kita mengasihi akan Allah ialah mulut sentiasa berzikir (mengingati / menyebut) Allah, hati tidak lalai mengingati sesuatu selain Allah. Setiap amalan yang dilakukan diperiksa terlebih dulu adakah untuk nafsu atau Allah. Mana yang dirasakan untuk Allah diteruskan. Apabila melihat sesuatu hati terus teringat kepada Allah yang menjadikannya. Selain itu, sentiasa mendampingi orang alim (ulama) kerana mereka ialah pewaris nabi. Kita sedar kita adalah bersama orang yang kita cintai di akhirat nanti. Jika hati menyintai nabi dan para ulama, insyallah kita bersama mereka di akhirat . Bagaimana pula agaknya kalau kecintaan beralih kepada para artis dan penyanyi? Nauzubillah...   
Sebagai akhirnya, sama-samalah kita berdoa supaya kita dapat bertemu Ramadhan tahun depan dan seterusnya.    
"Ya Allah, masukkanlah kami ke dalam golongan orang yang merindui Ramadhan kerana kami sedar di syurga terdapat sebuah pintu bernama Ar-Rayyan yang tidak boleh dimasuki oleh sesiapa kecuali orang yang berpuasa saja. Kami juga sedar Ya Allah bahawa puasa merupakan benteng terkuat dari azab neraka. Oleh itu jadikanlah kami orang yang rajin mengerjakan puasa wajib dan sunatnya. Kau peliharakanlah kami dari azab api neraka yang tidak mampu bagi kami untuk menanggungnya.." Amin.